-->

Mac 06, 2014

EXCO P. Pinang Dr. Afif hasut rakyat benci polis

Dr Afif Bahardin (kiri) dan Tan Sri Abdul Rahim Noor

Kuala Lumpur: Tindakan EXCO Pulau Pinang, Dr Afif Bahardin memperkecilkan peranan anggota keselamatan dengan membela penjenayah dalam Twitternya sejak kelmarin dilihat sebagai cubaan menghasut, sekali gus berupaya menggugat keselamatan negara.

Bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Rahim Noor, berkata kenyataan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Jaya itu dengan jelas menggambarkan keangkuhan pembangkang yang sering memperlekehkan pengorbanan anggota keselamatan.

Bagaimanapun, beliau yakin kenyataan itu akan berbeza jika pembangkang menguasai Kerajaan Pusat kerana mereka tidak mempunyai pilihan lain, selain terpaksa mengiktiraf peranan anggota keselamatan.

"Kenyataan itu boleh diibaratkan sebagai satu pengiktirafan terhadap penjenayah sekali gus membuka laluan untuk melakukan jenayah lebih keras, selain boleh mematahkan semangat anggota polis.

"Lebih menakutkan apabila penjenayah menyahut seruan ini sehingga mengorbankan lebih ramai anggota polis," katanya semalam.

Afif yang juga EXCO Pertanian dan Industri Asas Tani, Pembangunan Luar Bandar dan Kesihatan Pulau Pinang dalam Twitternya berkata 'Penjenayah bunuh polis itu tidak menghairankan, tetapi bila polis yang sepatutnya menegakkan undang-undang membunuh tahanan, itu masalah.'.

Beliau juga menyatakan 'bila polis dibunuh, kita tahu penjenayah akan ditangkap dibicara; di Malaysia, tahanan mati dalam jagaan polis masih belum dapat pembelaan'.

Terima kecaman


Bagaimanapun selepas kenyataannya itu menerima kecaman pengguna laman sosial berkenaan, beliau mendakwa kritikan itu tidak bersandarkan emosi atau sentimen semata-mata.

Kelmarin, Koperal Raja Aizam Raja Mohid mati ditikam penjenayah, manakala rakannya, Koperal Mohd Aidil Mustaffa cedera selepas diserang dua daripada lima individu dipercayai warga asing yang ditahan untuk pemeriksaan di Taman Sentosa, Klang.

Sementara itu, Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin turut mengecam tindakan Afif yang disifatkan tidak sensitif terhadap kesedihan keluarga mangsa insiden serangan hendap warga asing dan pengorbanan anggota keselamatan.

Sehubungan itu beliau menggesa Afif memohon maaf atas tindakan yang boleh menimbulkan kemarahan ahli keluarga, rakan, anggota keselamatan dan rakyat.

Khairy yang juga Menteri Belia dan Sukan berkata, tindakan mengaitkan insiden kematian Raja Aizam dengan dakwaan kematian tahanan dalam jagaan polis seolah-olah memusuhi Polis Diraja Malaysia (PDRM).

"Dakwaan itu amat serius dan Afif perlu bersedia dengan maklumat lengkap jika disoal siasat pihak polis berhubung kenyataan itu kelak.

"Saya mengingatkan beliau supaya tidak terlalu dangkal dan terburu-buru dalam mengeluarkan kenyataan sensitif pada masa depan, hanya demi kepentingan politiknya," katanya dalam kenyataan semalam.