-->

Mei 06, 2014

Datuk Aziz Sattar Meninggal Dunia

Seniman negara, Datuk Abdul Aziz Sattar atau lebih dikenali sebagai Aziz Sattar, 89, meninggal dunia akibat penyakit jantung di Hospital Kajang, kira-kira jam 2 pagi tadi.

Datuk Aziz Sattar Meninggal Dunia

Menurut anak perempuannya Sandakiah Aziz, turut berada di sisi ketika arwah menghembuskan nafas terakhirnya adalah dua anak, menantu dan cucu.

Katanya, jenazah akan dibawa ke kediamannya di Bandar Tun Hussein Onn, Cheras dan dikebumikan sebelum Zohor di Tanah Perkuburan Islam di Cheras Perdana.

Seluruh ahli keluarga dan saudara termasuk dari Johor dan Singapura dijangka tiba pagi ini untuk membantu menguruskan jenazah Allahyarham.


Pelakon veteran itu dimasukkan ke Unit Rawatan Koronari (CCU) Hospital Kajang akibat sakit jantung, malam kelmarin.

Biografi Aziz Sattar

Beliau dilahirkan di Pekalongan, Provinsi Jawa Tengah, Indonesia pada 8 Ogos 1925. Beliau mendapat pendidikan di Sekolah Melayu Kota Raja, Singapura.

Sejarah hidup Aziz di Tanah Melayu bermula ketika berusia tiga tahun, apabila dia mengikut bapanya, Sattar Sawal dan ibunya, Satimah Jalal, berhijrah ke Singapura pada 1928. Dibesarkan di kampung Pasir Panjang, di situlah dia mempunyai dua kawan rapat yang turut menjadi pelakon terkenal - Allahyarham Salleh Kamil dan Allahyarham Shariff Dol.

Aziz mendapat pendidikan Sekolah Melayu sehingga darjah lima. Dia tidak dapat menyambung pelajarannya ketika zaman pendudukan Jepun di Malaya. Pada umur seawal 10 tahun, beliau yang merupakan pelawak semulajadi telah mula menyanyi dan menari semasa majlis perkahwinan dan kenduri-kenduri di kampung. Dalam usia awal 20-an, dia menjadi pemandu lori dengan gaji sebanyak RM150.

Pada usia 15 tahun, Pak Aziz pernah diseksa askar Jepun kerana dituduh mencuri. Malah, beliau pernah merengkok dalam penjara selama enam bulan bersama ayah Seniwati Roseyatimah, Wak Jasni, kerana disyaki terbabit dalam kes rusuhan Natrah (Bertha Hertogh) di Singapura pada 1950.

Pada tahun 1950 beliau pernah menganggotai Pancaragam Suara Hiburan Keroncong, dan pada September 1951 berkerja di Studio Jalan Ampas, Singapura. Kehidupan Aziz mula berubah pada 1952 apabila dia diajak dua teman sekampungnya bekerja di studio Malay Film Productions. Pada peringkat awal, dia sekadar bekerja sebagai juru alihsuara.

Namun, dia terkejut kerana gajinya ketika itu jauh lebih rendah berbanding kerjanya sebagai pemandu lori iaitu hanya RM70 sebulan . Pada 1953, dia dipelawa berlakon sebagai watak tambahan dalam filem Putus Harapan. Filem pertama beliau membawa watak penting adalah filem Arjuna, diikuti siri Bujang Lapok dan filem Aksi Kucing.

Aziz Sattar_ Seniman Bujang Lapok

Beliau juga merupakan salah seorang daripada ahli Kumpulan Panca Sitara Panca Sitara versi 1990-an, bersama Allahyarham Datuk Ahmad Daud, Allahyarhamah Normadiah, Allahyarham Aziz Jaafar dan Allahyarham Nasir P Ramlee.

Pak Aziz pernah empat kali berkahwin tetapi hanya dua pernikahannya saja yang lebih diperkatakan iaitu bersama Siti Rumina Ahmad (isteri ketiga bercerai) dan Seniwati Dayang Sofia (isteri keempat - bercerai).

Hasil perkongsian hidup, beliau dikurniakan tujuh anak, 19 cucu dan lima cicit.

Bilangan Anak : 7 orang

  • Ruzaiman
  • Ruzaidah
  • Ruzainah
  • Zainuddin
  • Dahlia
  • Dalina
  • Sandakiah
Pada 16 Disember 2006, Datuk Aziz Sattar berkahwin dengan Datin Hashimah Delan. Pasangan itu dinikahkan Pendaftar Nikah, Khairuddin Haiyon di Masjid Sultan Abdul Aziz, Shah Alam dengan mas kahwin RM100.

sumber
http://kezoom.blogspot.com
http://www.hmetro.com.my/articles/AzizSattarmeninggaldunia//Article?BeritaUtama
http://ms.wikipedia.org/wiki/Abdul_Aziz_bin_Sattar