-->

September 16, 2014

3 Tentera Cedera, Senjata Makan Tuan

Tiga anggota Batalion 18 Rejimen Askar Melayu DiRaja (RAMD) Kem Seberang Takir, cedera di kaki, perut dan dada akibat terkena peluru ketika sedang membersihkan senjata, petang tadi.

3 Tentera Cedera, Senjata Makan Tuan

Menurut sumber, kejadian dilaporkan berlaku di kem berkenaan selepas tiga anggota terbabit berusia 19 hingga 21 tahun dipercayai baru selesai menamatkan latihan menembak pada jam 3.30 petang.

Difahamkan, sebelum kejadian, seorang daripada anggota terbabit dikatakan sedang membersihkan senjata, manakala dua lagi rakannya berada tidak jauh dari tempat anggota terbabit.

"Ketika sedang mencuci senjata berkenaan, secara tiba-tiba senjata yang berada di tangannya meletup dan terkena bahagian kaki anggota terbabit sebelum mengenai bahagian perut dan dada dua lagi rakannya," katanya.

Katanya, ketiga-tiga anggota terbabit yang mengalami kecederaan dikejarkan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), di sini, menggunakan ambulans Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Difahamkan, sehingga kini, mangsa yang mengalami kecederaan pada kaki dilaporkan berada dalam keadaan stabil dan sudah dipindahkan ke wad biasa manakala dua lagi rakannya masih dirawat di wad kecemasan HSNZ.

Pegawai Memerintah Batalion 18 RAMD Kem Seberang Takir Leftenan Kolonel Mahamad Fazli Mat Idris ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu namun tidak dapat memberi sebarang keterangan lanjut termasuk jenis senjata terbabit.

sumber
http://www.hmetro.com.my/articles/Senjatamakantuan//Article