-->

September 20, 2018

2 Suspek Pembunuh Kucing Dobi Mengaku Tak Bersalah, Seorang Lagi Masih Diburu.

Dua rakan serumah didakwa hari ini atas tuduhan dengan kejamnya menyebabkan penderitaan terhadap seekor kucing yang dimasukkan ke dalam mesin pengering pakaian yang membawa kepada kematian haiwan itu di sebuah kedai dobi layan diri.

Bagaimanapun kedua-dua tertuduh iaitu A Mohanraj, 41, pemandu teksi dan rakannya S S Satthiya, 26, juruteknik, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan di hadapan Hakim Rasyihah Ghazali.

Mengikut pertuduhan, kedua-dua tertuduh termasuk seorang lagi yang masih bebas didakwa dengan kejamnya menyebabkan penderitaan yang tidak sepatutnya terhadap kucing itu di kedai dobi Queen Self-Service, Taman Gombak Ria, di sini, pada 11 September lalu, jam 12.54 tengah malam hingga 1 pagi.

Bagi perbuatan itu, mereka didakwa mengikut 29 (1) (e) Akta Kebajikan Haiwan 2015 (Akta 772) Seksyen 29 (1) akta sama yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM100,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.



Mahkamah kemudian membenarkan kedua-duanya diikat jamin RM18,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 16 Oktober ini sebagai sebutan semula kes.

Selain itu, mereka perlu melaporkan diri di balai polis berhampiran sekali sebulan.

Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Zuhaini Mahamad Amin manakala kedua-duanya tidak diwakili peguam bela.

Sebelum ini, kedua-duanya ditahan polis pada Jumaat lalu oleh Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak berdasarkan risikan dan maklumat orang ramai.

Namun, seorang lagi rakan mereka masih diburu oleh pihak berkuasa.

Pada 13 September lalu, media melaporkan seekor kucing bunting ditemui mati dalam keadaan berdarah akibat melecur di kedai dobi layan diri di Taman Gombak Ria, Selasa minggu lalu.

Klip video daripada televisyen litar tertutup (CCTV) yang ditularkan oleh Persatuan Haiwan Malaysia sejak awal pagi itu mendapat banyak kritikan dan kata-kata maki hamun netizen.



Sumber : Berita Harian.