-->

Oktober 26, 2018

Klinik Kerajaan Dimaki Babi, Doktor Perjelaskan Kenapa Tunggu Lama Semasa Menerima Rawatan..

Oleh : Hidayat Hasni Isa

KENAPA ADA KALANYA KENA TUNGGU LAMA SEBELUM DAPAT JUMPA DOKTOR DI KLINIK KERAJAAN?
"Jadi, pakcik kena betul-betul jaga pemakanan, ubat yang kita bagi ni selain untuk darah tinggi, ia juga untuk.."


Tak sempat habis ayat untuk nasihat pakcik pasal ubat Angiotensin-Converting Enzyme Inhibitor, tiba-tiba..

Tup, pintu dibuka. "Doktor, ini nombor bila mahu panggil. Sudah lama woo," tiba-tiba ada pakcik lain terjah masuk pintu bilik tiba-tiba tanya menyampuk.

Prinsip aku mudah, kau nak orang hormat masa kau, kau kena hormat masa orang lain. Orang yang sama tak sabar nak tunggu giliran, tapi akhirnya dia juga yang banyak berceloteh bila jumpa doktor.

Ada beberapa situasi kenapa doktor ambil masa lama untuk jumpa pesakit :

1) Ada pesakit yang banyak aduannya. Masuk-masuk saja, "Doktor, saya semalam sakit kepala, lepas tu dua hari lepas gatal tangan, tadi mata berair, dua bulan dah sakit lutut, perut angin setiap malam dari sejak Ramadan, lepas tu doktor nak Panadol lebih ya," semua tu diungkapkan dalam satu hela nafas.

2) Ada pesakit warga emas yang tak fasih berbahasa Malaysia, "Uncle itu hari ada ambil chow hit kan, haa lepas tu kita tengok yu chi, semua ok, tam ku sun semua ok, tim liu ok, liu shin tinggi sikit, ada makan banyak seafood ka uncle?"


Uncle pun balas dalam bahasa Kantonis, sebab ingat aku ni doktor etnik Cina, muka keseluruhan tak nampak sebab pakai mask.

3) Ada yang pesakit yang kena terang perlahan-perlahan. Maklumat tu kena terang satu-satu. Serapnya lambat sikit, kena sabar.

"Ok makcik, ini keputusan darah hari tu, kalau tengok, buah pinggang ni keseluruhan ok, hati pun ok, gula tinggi sikit tapi masih boleh pantau, kolesterol ni naik sikit dari hari tu, kita kena naikkan sikit ubat kolesterol ni lah ye,"

Makcik pun angguk.

Sebelum habis konsultasi, waktu dah nak keluar, sambil hulurkan slip ubat, tiba-tiba Makcik tanya, "Doktor hari tu saya ada ambil darah, macam mana ya keputusannya?"

4) Ada pesakit kita kena terangkan istilah-istilah perubatan kepada makna yang lebih mudah difahami orang awam.

"Makcik dah kencing manis berapa lama?"

"6 tahun dah doktor."

"Faham tak kencing manis ni macam mana boleh jadi?"

"Tak pastilah doktor."

"Ok, dalam badan kita ada insulin. Insulin ni yang bawa gula dalam darah masuk dalam otot kita, untuk guna jadi tenaga. Umpama lori bawa baranglah. Lori tu insulin, barang tu gula. Orang kencing manis, lori tu rosak sebab barang dia banyak sangat. Orang biasa lori dia masih kuat tayar, orang kencing manis ni tayar dia dah pancit, tak larat dah nak bawa barang. Tu kita nak bagi lori baru, ganti lori lama. Kita nak bagi insulin."

5) Tu belum campur nak berdebat/berhujah pasal tahyul mahyul yang pesakit dengar pasal ubat-ubat hospital/klinik.

"Makcik taknak lah ubat ni doktor, rosak buah pinggang."

"Makcik dengar dari siapa?"

"Tu la, Makcik Senah, jiran sebelah. Lepas tu dia ada offer makcik jus sunnah untuk bagi baik kencing manis makcik".

6) Kadang-kadang ada kes kecemasan yang kita perlu rujuk pesakit ke hospital. Bacaan gula yang sangat tinggi, sakit dada, tekanan darah sangat tinggi walaupun lepas bagi ubat.

Macam-macam lagi sebenarnya kalau nak cerita.

Apa pun, klinik kerajaan yang di"fak" inilah juga yang telah banyak kerajaan habiskan duit untuk rawatan/ubat-ubatan. Klinik kerajaan yang di"fak" ini jugalah yang akan menjawab ke mesyuarat atasan kalau ada apa-apa kematian.

Betul, memang masa menunggu perlu diperbaiki. Malah banyak usaha yang telah dan sedang dibuat untuk mengelokkan lagi pengalaman pesakit di klinik kesihatan. Tapi kena faham juga keterbatasan tenaga kerja/fasiliti/kelengkapan dengan beban pesakit yang sangat tinggi.

Pada aku, setiap minit penerangan tambahan yang ambil sedikit masa doktor adalah lebih berharga daripada tengok cepat-cepat, tapi akhirnya pesakit mungkin dapat komplikasi sebab doktor tak bagitahu dengan baik dan akhirnya pesakit salah faham dan mengakibatkan komplikasi.

Walaupun katanya tulisan dalam tweet tu ditujukan kepada klinik pergigian, tapi alang-alang tu aku cerita sekali lah klinik kesihatan. - SoZPress.