-->

November 02, 2018

Suntikan Vitamin K Bukannya Vaksin, Ini Penjelasan Doktor Amirul Amzar.

Oleh : Amirul Amzar

SUNTIKAN VITAMIN K BUKAN VAKSIN

Ada salah faham dalam kalangan ibu bapa antivaksin yang menyangka suntikan vitamin K yang diberi kepada bayi yang baru lahir adalah satu vaksin baru. Tanggapan ini salah sama sekali. Suntikan vitamin K diperkenalkan sejak 1961 bagi mengelakkan masalah pendarahan yang serius pada bayi. Ianya bukan vaksin.



#Apa fungsi vitamin K?

Vitamin K diperlukan oleh badan untuk fungsi pembekuan darah. Tanpa vitamin K, kecederaan yang kecil pada salur darah tidak dapat dihentikan seterusnya akan menyebabkan pendarahan serius. Walaupun seorang bayi itu dijaga dengan baik, risiko pendarahan di perut dan otak adalah tinggi jika vitamin K nya tidak mencukupi.

#Dari mana kita dapat vitamin K?

Vitamin K diperolehi dari diet terutamanya dari sayuran hijau dan juga dihasilkan oleh bakteria baik dalam usus. Susu ibu juga tidak mengandungi vitamin K yang mencukupi untuk keperluan bayi terutamanya bagi ibu yang sedia ada kurang vitamin K.

#Kenapa bayi memerlukan memerlukan suntikan vitamin K?

Bagi bayi yang baru lahir, kandungan vitamin K mereka rendah kerana:


1. Vitamin K tidak dipindahkan melalui placenta dengan baik


2. Kandungan vitamin K dalam susu ibu tidak mencukupi


3. Kurangnya kehadiran bakteria baik dalam perut bayi bagi penghasilan vitamin K

 
Namun ini tidak boleh dijadikan alasan untuk memberi bayi makan lebih awal dari usia 4-6 bulan kerana kesan sampingan memulakan pemakanan selain susu ibu terlalu awal adalah lebih serius.

#Apa akan terjadi kalau bayi tak dapat suntikan vitamin K?

Seperti dijelaskan, vitamin K penting untuk pembekuan darah. Pendarahan yang serius boleh berlaku pada usus dan otak. Malangnya kedua-dua pendarahan ini biasanya lambat dikesan kerana ianya tersembunyi. Kebiasaannya bayi sudah kritikal atau mempunyai kerosakan otak baru pendarahan itu disedari. Dan risiko ini berterusan hingga usia 4-6 bulan sehinggalah bayi boleh menghasilkan vitamin K mereka sendiri.

#Kenapa dos suntikan vitamin K bayi terlalu tinggi?

Tidak dinafikan suntikan vitamin K pada bayi adalah lebih tinggi dari keperluan harian orang dewasa. Namun perlu difahami, suntikan ini dilakukan ke dalam otot yang mana vitamin K tersebut akan membentuk depot dan diuraikan ke dalam salur darah secara perlahan-lahan. Dos yang tinggi diberi ke dalam otot tidak sama seperti dos yang diberi terus ke dalam salur darah. Malahan, dos yang tinggi ini diperlukan bagi mengawal pendarahan sampai usia bayi 4-6 bulan.

#Tak bahaya ke suntikan vitamin K ini?

Ramai ibu bapa khuatir suntikan ini menyebabkan kuning pada bayi. Namun, kajian menunjukkan pada dos 0.5-1.0mg diberi secara intramuscular (ke dalam otot), ia tidak meningkatkan risiko kuning sedia ada. Setakat ini, tiada kajian yang membuktikan risiko kesan sampingan serius berpunca dari suntikan vitamin K. Suka saya ingatkan, ini bukan suntikan baru, dah lebih 50 tahun diperkenalkan dari 1961.

#Dalam suntikan vitamin K ini ada sumber haram ke?
 

Tidak, berikut adalah kandungan suntikan vitamin K:

1. Vitamin K1 - didapati dari unsur tumbuhan


2. Polysorbate 80 - bagi melarutkan vitamin K itu, juga dari unsur tumbuhan


3. Propylene glycol - sebatian sintetik yang digunakan bagi mengawal kelembapan ubat, sudah lama diluluskan FDA sebagai sebatian selamat


4. Sodium acetate anhydrous - garam dan soda bikarbonat bagi mengawal pH ubat


5. Glacial acetic acid - cuka, juga untuk mengawal pH

Tiada unsur binatang khususnya khinzir dalam vitamin K. Bahan di dalamnya adalah bahan yang sama dalam kebanyakan ubat mahupun makanan/minuman diproses

#Boleh tak saya nak lewatkan suntikan ini, tengok kalau ada pendarahan baru suntik?

Tidak boleh. Suntikan vitamin K perlu diberi dalam 6 jam selepas kelahiran bagi mengurangkan risiko pendarahan pada bayi. Kalau ditunggu hingga pendarahan berlaku, suntikan vitamin K tidak lagi berkesan untuk memberhentikan pendarahan yang serius itu.

#Jadi, kalau saya tolak suntikan vitamin K, apa risikonya?

Risiko menolak suntikan yang selamat ini adalah pendarahan yang serius pada bayi anda hingga menyebabkan kematian.

Dan risiko ini adalah 81 kali ganda lebih tinggi berbanding bayi yang menerima suntikan!

Kesimpulan saya, jika anda antivaksin sekalipun, tolonglah benarkan suntikan vitamin K ini. Suntikan ini selamat, dan melindungi anak anda dari berdarah hingga mati. Jangan jadikan diri anda punca kematian kejam anak anda.

P/s - dengar cerita ada kes kematian bayi akibat ibu bapa menolak vitamin K baru-baru ini.