-->

April 12, 2019

Skandal Jual Tanah DBKL, Peguam Negara Dan Pengarah SPRM Mengadap PAC.

Peguam Negara, Tommy Thomas dan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Mohd Shukri Abdull akan dipanggil memberi keterangan kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC).

Pengerusi PAC yang baharu, Datuk Dr Noraini Ahmad, berkata kedua-dua individu itu akan dipanggil pada 23 April depan bagi memberi keterangan berhubung prosiding transaksi tanah Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

“Pada 23 April ini, PAC akan menyambung prosiding berhubung transaksi tanah DBKL dengan memanggil Peguam Negara dan Ketua Pesuruhjaya SPRM.

“Kedua-dua mereka bersetuju untuk tampil memberi keterangan,”
katanya pada sidang media di Parlimen, hari ini.

Noraini yang juga Ahli Parlimen Parit Sulong berkata demikian ketika ditanya mengenai prosiding pertamanya selepas dilantik secara rasmi sebagai Pengerusi PAC hari ini bagi menggantikan Datuk Seri Dr Ronald Kiandee (PH-Beluran), yang turut hadir pada sidang media berkenaan.

Terdahulu, usul melantik Noraini sebagai Pengerusi PAC yang baharu, dipersetujui sebulat suara oleh Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang, ketika ia dibaca oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Keong di Dewan Rakyat.

Sementara itu, mengulas pelantikan yang menjadikannya wanita pertama mengetuai PAC, Noraini menegaskan akan terus memperjuangkan usaha supaya prosiding PAC boleh disiarkan secara langsung.

Noraini memberitahu akan menyambung beberapa prosiding yang belum sempat dimuktamadkan ketika Ronald menjadi Pengerusi PAC, bermula dengan siasatan pembelian tanah Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) pada 23 April depan.

“Saya akan teruskan cadangan untuk membenarkan prosiding PAC disiarkan secara langsung, serta menyambung dua prosiding yang belum selesai bermula pada 23 April depan.

“Selain itu, saya akan membawa cadangan yang pernah diusulkan sebelum ini, iaitu sebarang tindakan susulan kementerian hasil teguran PAC, perlu dibentangkan kembali kepada jawatankuasa ini,”
katanya.

Sementara itu, Ronald berkata, UMNO akan mengusulkan seorang Ahli Parlimen daripada parti itu untuk menggantikan tempatnya sebagai Ahli PAC, memandangkan pelantikannya sebagai Pengerusi PAC sebelum ini, adalah atas kuota UMNO.

Katanya, pengganti bagi mengisi kekosongan yang ditinggalkan William Leong (PH-Selayang) pula akan diusulkan oleh PKR dan ia akan diputuskan jawatankuasa pemilih.


Sumber : Sinar Harian