Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata pasukan keselamatan diberi kuasa untuk menembak mana-mana pihak yang didapati menceroboh perairan negara.
"Kerajaan tiada sebarang masalah jika itu (menembak) boleh halang penceroboh daripada memasuki Malaysia," katanya ketika ditemui pada Majlis Berbuka Puasa Bersama Warga Kementerian Dalam Negeri (KDN) Perlis, di sini, semalam.
Beliau mengulas kenyataan Panglima Tentera Laut Laksamana, Tan Sri Abdul Aziz Jaafar yang meminta kerajaan membenarkan pasukan keselamatan menembak mana-mana pihak atau kumpulan yang menceroboh perairan Sabah.
Kenyataan Abdul Aziz itu menyusuli kejadian serangan hendap oleh sekumpulan lelaki bersenjata berat di Pulau Mabul, Semporna pada Sabtu lalu yang mengorbankan seorang anggota Pasukan Polis Marin manakala seorang lagi ditawan.
Panglima Tentera Laut Laksamana Tan Sri Abdul Aziz Jaafar malam Isnin menegaskan tindakan menembak penceroboh bukan bermakna pasukan keselamatan negara bertindak kejam, sebaliknya sekadar menghalang mereka melarikan diri.
"Ada yang mengatakan kita (pasukan keselamatan) akan melakukan kekejaman, kita tembak untuk membunuh orang. Ini salah. Kita akan tembak apabila mereka tidak berhenti dan melarikan diri," katanya kepada pemberita di sini.
Beliau diminta mengulas lanjut kenyataannya pada Ahad yang memohon kepada kerajaan agar membenarkan pasukan keselamatan melepaskan tembakan ke arah pihak yang menceroboh perairan negara di Sabah.
Mengulas lanjut, Abdul Aziz berkata sekarang bukan masanya untuk pihak berkuasa berlembut terhadap penceroboh terbabit.
"Saya mohon budi bicara Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dalam isu ini. Sekarang bukan masa untuk berlembut lagi. Berapa ramai lagi anggota pasukan keselamatan akan terkorban jika penceroboh masih bermaharajalela," tegasnya.
Beliau berkata Majlis Keselamatan Negara boleh mengeluarkan Peraturan Kawalan Tembakan yang membenarkan tembakan dilakukan ke atas mana-mana unsur yang dicurigai boleh menggugat keselamatan negara.
sumber
http://www.bharian.com.my/bharian/articles/BOLEHTEMBAKPENCEROBOH/Article
http://www.mstar.com.my/berita/berita-semasa/2014/07/15/tembak-panglima-tentera-laut/