-->

September 29, 2018

Guru, Ibu Bapa Bergabung Luahkan Perasaan Masa Menjawab Peperiksaan Matematik UPSR 1 Jam Tidak Mencukupi..

Oleh : Mohd Fadli Salleh
 

"Cikgu! Saya tak sempat jawab semua soalan," adu beberapa orang murid sebaik keluar dewan peperiksaan.

Riak wajah mereka risau dan sebak. Kolam mata mula bergenang. Murid lain pakat datang juga mengadu benda yang sama. Aku tarik nafas dan kata,

"Dah. Dah. Jom pergi kantin dan makan dulu."
Murid patuh mengekori aku ke kantin. Sambil makan aku nasihatkan mereka jangan sesekali kenang kertas peperiksaan yang dah lepas. Kena tumpu pada kertas 2 pula yang akan berlangsung sebentar lagi.



Aku bantu mereka ulangkaji ringkas, dan hantar mereka dengan senyuman masuk ke dalam dewan.

Sebaik mereka masuk dewan, kertas Matematik Kertas 1 yang murid serah tadi cepat-cepat aku buka dan kaji.

Soalan 1-20 soalan senang. 20-40 ini banyak soalan tricky. Nampak senang, namun ada permainan bahasa yang bakal buat murid keliru.

Dan senyuman aku diawal-awal sewaktu tanda kertas 1 murid mula bertukar kerutan didahi pula.

Makin banyak soalan yang dijawab salah. Makin banyak soalan yang sederhana sahaja aras KBATnya, namun mampu mengelirukan murid.

Aku tarik nafas dalam-dalam. Tak sanggup lagi nak tanda semua murid. Cukuplah sehelai sebagai penanda aras.

Aku ke surau. Baca Yasin. Zikir banyak-banyak. Selawat banyak-banyak. Kirim doa banyak-banyak. Semoga murid aku yang sedang menjawab Kertas 2 tika itu tenang dan mampu jawab dengan baik.

*******

Sebenarnya, dah lama isu ini guru Matematik Tahun 6 perjuangkan.

KENAPA MASA MENJAWAB MATEMATIK DIHADKAN KEPADA SATU JAM SAHAJA?

 
Satu jam tidak mencukupi. Satu jam sangat kejam. Satu jam mendera emosi anak-anak itu.

Matematik ini bukan sekadar melibatkan pengiraan semata-mata. Bahkan sangat penting memahami kehendak soalan yang dibelit pula dengan permainan bahasa.

Kertas 1 ada 40 soalan. Satu jam bermakna satu soalan = 1 minit 30 saat.

Murid mesti mengira dalam masa 1 minit 30 saat untuk menjawab satu soalan tanpa bantuan kalkulator pun.

Soalan berbentuk ayat pula berbelit-belit. Masa dihabiskan untuk memahami kehendak soalan pun dah memakan masa lama. Nak kira lagi.

Sama juga Kertas 2. Masa satu jam sedangkan ada lebih 32 soalan (termasuk soalan berangkai).

Kertas 2 perlu ditunjuk jalan kira, maka lebih banyak masa calon perlukan.

UPSR adalah penanda aras setakat mana kefahaman mereka belajar sepanjang di sekolah rendah.

Bukan sahaja penanda aras untuk murid, bahkan penanda aras untuk guru apakah tunjuk ajar mereka murid fahami dan dapat ikuti.

Melalui pemerhatian dan penelitian aku, murid sebenarnya mampu capai lebih tinggi dari keputusan sebenar yang bakal keluar jika masa diberikan mencukupi.

SATU JAM TIDAK MENCUKUPI UNTUK JAWAB 40 SOALAN!

Ini aras murid berusia 12 tahun. Kenapa dipaksa sebegitu rupa?

Kenapa tidak kembalikan tempoh masa peperiksaan seperti dahulu kala?

1 jam 15 minit - 1 jam 30 minit adalah satu jangka masa yang lebih relevan untuk menjawab 40 soalan Matematik.

Murid dapat mengira dengan lebih tenang tanpa tekanan masa, soalan dapat dihadam dan dihurai dengan lebih baik.

Ini tidak. Sudahlah silibus makin tinggi. Soalan KBAT yang memeningkan lagi. Muncul pula pengganggu dalam setiap soalan. Tambah lagi dengan soalan cerita (penyelesaian masalah) yang dipusing-pusing jalan ceritanya.

Penyeksaan teragung ialah MASA YANG TIDAK CUKUP!

Saban tahun Matematik menjadi killer subject di banyak sekolah.

Persoalannya, adakah benar murid tak menguasai atau sebenarnya masa yang tidak mencukupi?

Aku rasa, sudah tiba masanya tempoh jawab kertas Matematik dalam peperiksaan UPSR di kaji dan dinilai semula.

Jika diberi tempoh masa yang lebih relevan, aku rasa lebih ramai calon akan lulus dan mendapat keputusan cemerlang.

Semoga suara kecil dari guru yang kerdil ini didengari menteri dan pembuat dasar di atas sana.

Aku tidak lagi sanggup melihat murid keluar dewan dengan linangan air mata. Bukan kerana tidak dapat jawab, tetapi kerana tidak cukup masa.

#MFS : Guru yang perjuangkan hak anak murid.


----------------Respon ibu bapa;