-->

Oktober 13, 2018

Dan Ini Kes-Kes Mabuk Yang Mana Akhirnya Menyusahkan Orang Lain & Orang Islam.

Oleh : Asmi Syabil
 

1. 

“F**k y**”
“Stupid,idiot”


Tengking seorang pesakit yang dibawa masuk ke zon kuning selepas terlibat dengan kemalangan jalanraya.

Pesakit kelihatan “mamai” sambil carutan menjadi zikir di mulut.

“Boss,pesakit ni ambulance call tadi MVA motor.Pesakit ditemui orang sekeliling,katanya pesakit memandu secara terhoyong-hayang sebelum melanggar pembahagi jalan dan terjatuh”

Bau hanyir minuman alkohol lantas menusuk hidung tatkala kami mula memberikan rawatan kepada pesakit yang kelihatan ingin bangun daripada katil dan menjerit-jerit terlolong di zon kuning.

“Bodoh...Bab*....F***....idiot....”, berterusan perkataan-perkataan tersebut terhambur keluar dari mulut pesakit.

Ikutkan hati mahu saja dilempang.

2.

“Pesakit seorang lelaki berumur awal 40-an,alleged MVA motorbike skidded,GCS 3,currently ongoing CPR,ETA 4 minutes,” kedengaran MECC melaporkan melalui GIRN di zon merah.

Seorang pesakit ditolak masuk selepas beberapa ketika sambil diringi pembantu pegawai perubatan yang cekap melakukan tekan dada(CPR) kepadanya.

Pesakit lantas dipindahkan katil sambil aroma minuman keras menusuk hidung para petugas kesihatan.

“Sah mabuk ni doktor,” ujar pembantu perubatan spontan.

Kelihatan sebahagian muka pesakit yang hancur barangkali terhentak pembahagi jalan. Darah pekat mengalir daripada rongga hidung,telinga dan mulut.



Gambar Hiasan
Provisional diagnosis : Alleged MVA sustained intracranial bleed and basal skull fracture

Proses resusitasi kaldiopulmonari (CPR) diteruskan.

Selepas hampir 30 minit, tiada tanda-tanda kehidupan dapat dilihat pada pesakit lalu pesakit disahkan meninggal dunia.

Ahli keluarga yang sampai kemudiannya hanya mampu meratapi pemergiannya dengan linangan air mata.

3.

“Doktor,macamana keadaan tunang saya doktor?Dia baru saja kemalangan tadi motor dengan hilux. Orang pendaftaran cakap dia dihantar ke zon kuning,” sapa seorang lelaki dengan muka penuh kerisauan.

“Owh ,pesakit bernama Sakinah Binti Ali (bukan nama sebenar) ke?,” tanyaku sambil menunjukkan ke arah pesakit tersebut.

“Pesakit sekarang ini telah diberikan rawatan awal dan keadaannya agak stabil.Cuma buat masa sekarang kita syak pesakit mungkin mendalami pendarahan dalam kepala (Intracranial bleed) disebabkan tahap kesedaran pesakit yang nampak sedikit keliru.Pemeriksaan luaran menunjukkan pesakit mungkin ada kepatahan pada tulang paha(femur) dan saya buat pemeriksaan Ultrasound menunjukkan pesakit juga mungkin mengalami pendarahan dalam perut,” terangku panjang lebar.

“Allahu akbar....,” menitis air mata sang lelaki.

“Doktor, saya ibu kepada Sakinah,” sapa wanita yang daripada tadi berdiri di sebelah lelaki tersebut.

“Macamana ni doktor? Esok sepatutnya hari akad nikah dia dengan bakal menantu saya ni.Khemah dan pelamin semua sudah siap dipasang. Jemputan semua sudah dihantar,” rintih sang ibu mengenang nasib anaknya.

Pesakit merupakan penunggang motorsikal yang telah dilanggar sebuah kenderaan pacuan 4-roda dipandu oleh seorang lelaki berumur 18 tahun di bawah pengaruh alkohol.

4.

“Doktor,saya sudah tidak tahan dengan suami saya.Dia selalu pukul saya.Sepak,terajang,tumbuk.Anak-anak pun selalu kena pukul dengan dia bila dia mabuk,” luah seorang pesakit OSCC kepadaku.

Matanya sebelah lebam.
Pipinya bengkak sebelah.
Berbirat-birat kesan di tubuh badannya bekas dilibas kayu penyapu.

“Dia memang kuat minum arak ke puan?”

“Ye doktor.Hampir setiap hari mesti ada waktu yang dia akan balik rumah dalam keadaan mabuk”.

 

Entah sudah berapa kali banyaknya kes-kes rumahtangga sebegini yang sering kami sebagai petugas kesihatan temui.

Ini antara kes-kes yang sering bertandang ke Jabatan Kecemasan saban hari melibatkan pengaruh alkohol.

Itu tidak termasuk lagi pesakit yang datang berulang kali disebabkan oleh penyakit hati kronik (Chronic liver disease) yang salah satu puncanya adalah pengambilan alkohol.

Saya tidak tahu dimana kebaikannya pengambilan alkohol sehingga sekarang kerana kebanyakkan kes-kes yang dijumpai sering berakhir dengan kemudharatan.

Kematian akibat kemalangan.
Krisis rumahtangga.
Penyakit kronik.

Ini tidak termasuk lagi segala gejala sosial masakini yang semakin berleluasa disebabkan arak seperti perzinaan,liwat,parti seks bebas,hubungan sejenis dan sebagainya yang keseluruhannya merosakkan masyarakat.

Pernah suatu ketika,tiga orang perempuan belasan tahun,Melayu dan beragama Islam,datang ke jabatan kecemasan membawa rakan mereka yang tiba-tiba "pengsan" setelah berparti pada pukul 2-3 pagi ditemani air kencing syaitan tersebut.

Oh ya,kebanyakkan pesakit yang terlibat dengan alkohol sebegini yang saya jumpa bukan sahaja golongan bukan muslim,bahkan yang beragama Islam pun tidak kurang ramainya.

Isu ini bukan sahaja isu agama tetapi isu alam sejagat keseluruhannya.

يَسْأَلُونَكَ عَنِ الْخَمْرِ وَالْمَيْسِرِ ۖ قُلْ فِيهِمَا إِثْمٌ كَبِيرٌ وَمَنَافِعُ لِلنَّاسِ وَإِثْمُهُمَا أَكْبَرُ مِنْ نَفْعِهِمَا ۗ وَيَسْأَلُونَكَ مَاذَا يُنْفِقُونَ قُلِ الْعَفْوَ ۗ كَذَٰلِكَ يُبَيِّنُ اللَّهُ لَكُمُ الْآيَاتِ لَعَلَّكُمْ تَتَفَكَّرُونَ

Mereka bertanya kepadamu tentang khamar dan judi. Katakanlah: “Pada keduanya terdapat dosa yang besar dan beberapa manfaat bagi manusia, tetapi dosa keduanya lebih besar dari manfaatnya”. Dan mereka bertanya kepadamu apa yang mereka nafkahkan. Katakanlah: “Yang lebih dari keperluan”. Demikianlah Allah menerangkan ayat-ayat-Nya kepadamu supaya kamu berfikir. (Al-Baqarah:219)