-->

Disember 25, 2019

Yaya Menangis Diserahkan Kepada JKM Selepas Ibu Bapa Tidak Menuntut Kehilangannya..

SEMASA | Apa la nasib Yaya, ditinggalkan begitu sahaja oleh keluarganya di sebuah restoran. 


Sebelum ini portal Harian Metro melaporkan, kanak-kanak perempuan berusia 4 tahun, ditinggalkan di sebuah restoran di Menara U2, Seksyen 13, di Shah Alam pada malam ahad.

Kanak-kanak berkenaan yang hanya menggelarkan dirinya ‘Yaya’ ditemui berkeliaran seorang diri di sekitar restoran berkenaan kira-kira 8 malam oleh pemilik restoran sebelum diserahkan kepada pihak polis.

Ketua Polis Balai Seksyen 9, Asisten Superintendan Zaiful Nizam Mohamad berkata, sehingga kini, tiada waris Yaya tampil untuk membawa pulang kanak-kanak itu dan pihaknya terpaksa menyerahkan kepada pihak JKM bagi urusan berikutnya.

“Usaha mengesan waris Yaya juga giat dijalankan namun tidak banyak maklumat yang diperoleh memandangkan kanak-kanak itu ditemui sehelai sepinggang.

“Hasil semakan juga mendapati tiada sebarang laporan dibuat berkaitan kehilangan kanak-kanak perempuan sebaya Yaya sehingga hari ini,”
katanya kepada Harian Metro.

Katanya, pihak polis kemudiannya menyerahkan kanak-kanak itu kepada pihak JKM Selangor bagi tindakan lanjut kira-kira 10 pagi tadi.

“Yaya menangis apabila kita menghantarnya ke JKM kerana dia mahu terus dijaga pihak polis.

“Bagaimanapun, kita perlu mengikut prosedur operasi standard (SOP) dengan menyerahkannya kepada JKM,”
katanya.

Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai kanak-kanak berkenaan bolehlah menghubungi Balai Polis Seksyen 9 di talian 03-55202242/43 atau tampil JKM Selangor di Tingkat 2, Bangunan Darul Ehsan.